Skip to main content

Karang tanjak perlu berguru



MATA Mohd. Taufik Tulus, 32, fokus melihat pada simpulan tanjak yang dibuatnya. Kain yang dilipat kemas perlahan-lahan itu menjadi tanjak yang cantik dan kemas dan dinamakan Takur Tukang Besi.
Teknik menghasilkan tanjak itu dipelajarinya dalam Bengkel Pengenalan Destar, Tanjak dan Tengkolok yang diadakan di Yayasan Al-Jenderami, Dengkil, Selangor baru-baru ini.
Beliau mula meminati seni pembuatan tanjak tersebut sejak awal tahun ini ketika mengikuti satu program pertandingan memanah tradisional di ibu kota. Ketika itu, rata-rata peserta memakai tanjak ketika bertanding.
“Hati saya ketika itu terdetik dan banyak persoalan bermain di fikiran, antaranya bolehkah saya memakai tanjak itu sama seperti para peserta yang lain dan tidak salahkah memakainya di depan khalayak ramai.
“Justeru, saya nekad untuk mencari bengkel pembuatan tanjak untuk belajar cara membuatnya. Sejak itu, saya mula memakai tanjak jika keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di bengkel tersebut.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu tidak menafikan berasa kekok ketika mula-mula memakainya di khalayak ramai.
Perasaan itu hilang sementelah beliau biasa memakai tanjak setiap hari.
“Suatu ketika saya dan keluarga berkunjung di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kulai, Johor dengan memakai pakaian tradisional Melayu lengkap bertanjak sehingga menjadi perhatian ramai.
“Ada yang memandang serong dan ada juga melihat kami dengan penuh kagum. Lebih terharu, sekumpulan pelancong asing turut bergambar dengan kami sekeluarga,” ujarnya yang berasal dari Sepang.
Destar, tanjak, atau tengkolok, biar apapun nama yang diberi, ketiga-tiganya merujuk kepada kain ikat kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki.
Pakaian kebesaran
Ia merupakan pakaian kebesaran Raja-Raja Melayu sejak berkurun lamanya. Tanjak juga adalah warisan yang mencerminkan simbol kemuliaan dan masih diguna pakai sehingga hari ini.
Walaupun ia bukanlah aksesori yang dipakai secara harian oleh golongan lelaki Melayu hari ini, tetapi ia masih mempunyai kedudukan yang tinggi terutamanya dalam adat istiadat diraja.
Lazimnya, tanjak dipakai bersama baju Melayu yang dilengkapi kain samping, keris, dan capal, malah aksesori kepala ini juga dipakai mengikut aturannya sendiri.
Jika dahulu tanjak digunakan sebagai senjata dan alat pelindung diri bagi kebanyakan orang untuk melibas bagi mengelak hunusan senjata ketika bertarung, hari ini selain dipakai dalam majlis-majlis rasmi atau kebesaran, ia juga dipakai sebagai perhiasan dalam busana pengantin.
Uniknya, seni pembuatan tanjak dari setiap negeri adalah berbeza dan mempunyai nama-nama tertentu. Pembuat tanjak pula dikenali sebagai pengarang tanjak kerana ia merupakan satu seni yang tersendiri.
Bagi salah seorang pengarang tanjak, Mohd. Herin Mansor, 37, pada umumnya destar merupakan semua jenis hiasan kepala seperti tanjak, tengkolok, getam, justar dan semutar.
Katanya, dalam kalangan masyarakat Melayu, ia lebih popular dengan beberapa panggilan seperti tanjak atau tengkolok, tetapi ia juga mempunyai beberapa perbezaan seperti tapak, simpul dan karangan atau solek.
“Sebagai contoh tanjak mempunyai tapak, simpul dan karangan tertentu berbanding tengkolok pula bebas dari segi tapak dan simpul yang ingin dihasilkan tetapi mempunyai karangan tertentu.
“Selain itu, tanjak yang diperbuat secara tradisional menggunakan kain songket yang dilipat dan diikat dalam gaya tertentu, menjadi pilihan utama kaum lelaki satu ketika dahulu,” katanya yang memberitahu tanjak moden biasanya menggunakan kain gam atau keras seperti kolar baju kemeja.
Jelas Mohd. Herin, seseorang yang ingin mempelajari seni pembuatan tanjak perlu berguru dan boleh menguasai ilmu asas seawal sehari serta mahir dalam setahun bergantung kepada kecekapan.
Katanya, kategori tanjak terbahagi kepada dua iaitu untuk dipakai golongan raja dan rakyat biasa.
“Tiga jenis tanjak untuk golongan raja ialah seperti Dendam Tak Sudah, Kacang Dua Helai Daun dan Sarang Kerengga manakala Solok Timba dan Helang Menyongsong Angin adalah bagi pakaian rakyat biasa.
“Tanjak Dendam Tak Sudah adalah pakaian eksklusif kepada raja yang memerintah seperti Yang di-Pertuan Agong, Undang Yang Empat dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Herin memberitahu, tidak semua orang boleh membuat tanjak kerana ia memerlukan kemahiran walaupun pada dasarnya dilihat begitu mudah untuk membentuknya.
Bengkel
Tambahnya, tanpa kemahiran, tanjak yang ingin dihasilkan tidak akan menjadi. Untuk menghasilkan satu-satu tanjak bukanlah tugasan mudah kerana kemahiran amat diperlukan untuk membentuk jenis-jenisnya.
“Penghasilannya juga perlulah dilakukan secara berhati-hati kerana tanjak mempunyai seninya tersendiri dan setiap pembuatannya perlu menitikberatkan beberapa syarat.
“Antaranya, sebelah belakang tanjak mestilah mempunyai secebis kain yang tegak atau disimpul ke atas,” katanya yang juga merupakan jururawat sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Khuatir tentang tanjak semakin dipandang sepi, terutama oleh generasi muda, Mohd. Herin berusaha memastikan budaya pemakaian tanjak tidak lenyap, dengan terlibat secara aktif menghasilkannya dan mengadakan siri bengkel pengenalan warisan tradisi itu sejak tahun lalu.
Sementara itu, bagi seorang lagi pengarang tanjak, Khairul Hafiz Abdul Rahman, 45, atau lebih dikenali dengan nama Mitch Ai, memberitahu, beliau mula menceburi seni pembuatan tanjak sejak tujuh lalu.
Ekoran minat yang mendalam beliau memasuki beberapa kelas mengarang tanjak tradisional dan mempelajarinya daripada guru di beberapa buah negeri dalam negara.
“Individu yang banyak memberi tunjuk ajar sudah pastinya Johan Iskandar, dia
merupakan guru saya yang terawal dan membimbing serta mengajar saya seni karangan tanjak.
“Daripada pengalaman saya, tanjak Negeri Sembilan adalah paling rumit dan perlu ketekunan yang tinggi dalam menyiapkannya berbanding negeri lain.
Harga
“Sekiranya tidak mempelajari atau berguru bagi mengarang tanjak ini, ia akan jelas kelihatan berbeza pada rupa bentuk, pembuatannya tidak tepat atau lari daripada aturan sebenarnya,” katanya yang berasal dari Pekan, Pahang.
Tambah Mitch Ai, untuk mengarang tanjak tidak boleh hanya meniru atau menontonnya melalui internet seperti YouTube dan Facebook.
“Jadi sebab itulah, kita belajar, cari guru dan hentikan memberikan alasan tiada masa atau duit. Umpama kita menuntut ilmu di sekolah, seseorang itu perlu ada guru untuk membimbingnya bagi memahami apa yang dipelajarinya,” ujarnya.
Jelas bapa kepada dua cahaya mata itu lagi, pelanggannya terdiri daripada individu persendirian yang ingin memakai tanjak dalam majlis adat istiadat di istana, majlis perkahwinan dan menyertai pertandingan.
Katanya, beliau menerima tempahan kira-kira 50 tanjak dalam sebulan, manakala harga yang ditawarkan pula bermula RM100 hingga RM150 bergantung kepada jenis fabrik dan ikatan yang diinginkan.
“Mengikut kepercayaan, rekaan tanjak biasanya berkait rapat dengan status si pemakai dan rakyat tidak boleh memakai bentuk tanjak yang sama dengan tanjak raja atau sultan,” tuturnya.
Sekalipun wujud kebimbangan bahawa tanjak yang juga hiasan kepala tradisional Melayu ini mungkin lenyap ditelan zaman, namun masih ada segelintir individu yang memperjuangkan pembuatan dan pemakaiannya.

Sumber http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/karang-tanjak-perlu-berguru-1.580449 

Comments

Popular posts from this blog

Adat dan Adat Istiadat Adalah Dua Perkara Yang Berbeza

ADAT dan ADAT ISTIADAT. Ramai yang masih keliru mengenai dua perkara ini. Bunyi hampir sama tetapi tidak sama. Saya ambil rujukan terbaik yang pernah saya jumpa sebagai penerangan iaitu  dari buku Destar Alam Melayu.  PERBEZAAN PENGGUNAAN DALAM ADAT DAN ADAT-ISTIADAT Adat Dan Adat Istiadat adalah perkara yang berbeza. ADAT Peraturan yang lazim diamalkan oleh masyarakat Melayu lama dahulu hingga menjadi cara hidup, maka diangkat menjadi adat. Contoh: Pasang Pelita Menjelang Hari Raya, Adat perkahwinan seperti merisik, meminang, bertunang, Malam Berinai, Adat batu nisan. ADAT-ISTIADAT Adat-istiadat ialah protokol, peraturan, upacara dalam sesuatu majlis. Ia boleh mengubah adat sedia ada, mengikut kesesuaian dan sesuatu tujuan seperti untuk memudahkan membezakan taraf dan pangkat seperti Sultan, pembesar dan rakyat dalam sesuatu majlis. Kedudukan posisi simpul kain, bilangan jinjang, tebal bengkung dan bahagian tanjak juga boleh diubah untuk kegunaan sesuatu majlis. Apa

Ulasan Semua Jenis Buku Destar, Tanjak, Tengkolok Yang ada Dipasaran.

ULASAN SEMUA BUKU BUKU 1 TAJUK BUKU: Destar Warisan Malaysia: Koleksi Terpilih by Wan Yahaya Abdullah P ada mulanya saya amat menghormati dan pandang tinggi terhadap buku ini kerana  Penerbit/Publisher:  JABATAN MUZIUM MALAYSIA. Selalunya apabila baca nama  JABATAN MUZIUM MALAYSIA terus ramai pihak akan pandang tinggi. Lagipun nama Wan Yahaya Abdullah adalah nama besar pada sekitar tahun 2000 dalam bidang tanjak. Saya sendiri pernah berjumpa dan belajar bawah tunjuk ajarnya dulu bersama rakan-rakan saya dari Perlis semasa membuat kajian. Setel ah beberapa kali membaca dan meniliti kandungan buku ini, terus terang saya rasa amat kecewa kerana sedar mempunyai banyak kesilapan besar. Semua kesilapan besar ini telah menjad i rujukan semua pembeli. Kerana banyak persoalan yang bermain dalam fikiran saya ketika itu dan disebabkan saya amat mengenali kemampuan arwah yang sebenar maka saya ada tanya beberapa pihak termasuk mereka dari pihak  JABATAN MUZIUM MALAYSIA sen

Maksud Indera Kayangan

Tahukah Di Perlis tanjak Putera kayangan dan nama negeri Indera Kayangan telah dihapuskan? Cuba baca apa saya tulis dan fahamkan Kota Kayang adalah merupakan Kota Indera Kayangan yang di bina pada zaman pemerintahan Sultan Kedah ke 15 iaitu Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Syah I yang memerintah antara tahun 1661-1687. Kota ini dikatakan sebuah kota yang tidak dapat dilihat kerana dilindungi oleh Bukit Papan, Bukit Kubu, Bukit Toh Poh, Bukit Lambung Panah, Bukit Nasi Sebungkus, Bukit Besi Hangit, Bukit Lagi dan Gunung Medan zaman itu. Di sinilah Sultan Kedah ke-15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah membina Kota Indera Kayangan sebagai pusat pemerintahan yang tersembunyi dan hanya boleh dilihat dari tempat tinggi ketika itu kerana ditutupi banyak bukit dan pokok. Disebabkan hanya boleh dilihat dari tempat tinggi maka digelar Kota Indera Kayangan. Kayangan juga bermaksud tempat tinggi. Indera pula bermaksud deria yang boleh kita lihat dan rasa. Sayangnya banyak tokoh agama Perlis dan pa